Friday, July 04, 2008

RancangWang: Negara Barakah Kita Perlukan.

Pada hari kita rakyat Malaysia dalam kekalutan. Kenaikan harga minyak yang boleh membuatkan kita naik minyak pun tidak cukup. Ianya diikuti dengan rentetan kenaikan harga barang. Itu tidak cukup. Kenaikan harga perkhidmatan juga bertambah. Contohnya saya yang mempunyai 3 anak naik bas sekolah terpaksa menampung kenaikan tambang berjumlah RM40 untuk 3 anak tersebut. Bayangkan bagaimana susahnya untuk keluarga yang mempunyai pendapatan isurumah kurang dari RM3000 sebulan.

Tidak cukup dengan kekalutan harga minyak, kita ditambah lagi dengan kekalutan politik. Kekalutan politik seperti siapa bakal pemerintah, kestabilan jawatan PM, bakal PM yg dikaitkan dgn pembunuhan bersepai, menambah kalut lagi untuk kita. Ditambah lagi ’PM dalam penantian’ yg dikaitkan dengan tuduhan liwat.

Poket kita kalut, emosi kita mungkin kalut, politik negara yg kalut dan berbagai kekalutan lagi. Mungkin akhirnya kita akan mengatakan ’semuanya karut’

Berbalik kepada cerita rancang wang, disini saya ingin mengetengahkan dari surah al-araaf, ayat 96. Ayat ini berbunyi ” Jika sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kpd mereka berkah dari langit dan bumi, tapi mereka mendustakan (ayat ayat kami) itu, maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.

Pembaca sekelian, tidak kah kita patut gembira bahawa ada janji Allah untuk melimpahkan kurnia dari langit dan bumi jika negara itu dipenuhi dengan org beriman dan bertakwa. Benarlah ungkapan bahawa ’sekiranya kamu cinta pada Islam, dunia akan datang kepada kamu dan sekiranya kamu lari dari Islam, dunia akan menjauhi kamu’. Betapa specialnya umat Islam.

Pembaca sekelian, tidak kah kita takut kerana kegagalan kita untuk kembali kepada Islam dan menegakan sistem syariah yg disuruh oleh Allah membuatkan kita disiksa dgn pelbagai kekalutan. Semoga Allah jauhkan.

Ayat 96 al-araaf ini begitu bernilai. Dalam banyak ayat ayat lain, contohnya ayat seribu dinar yang begitu popular kepada orang melayu dan dikedai mamak, hingga digantung tinggi didinding, ayat ayat seperti itu lebih menekankan kepada individu. Contohnya „“sekiranya kamu bertakwa.....“ atau banyak ayat lain yg bercorak individu. Tetapi dalam ayat 96 ini, ianya bersifat negeri.

Dalam kata lain, dalam kita mahu merancang wang dari perspektif rezeki dan kesejahteraan hidup, rupa rupanya kita tidak boleh lari dari memastikan negara yang kita duduk itu adalah sebuah negara barakah.

Dalam tafsir ibnu kathir mengatakan “bahawa Allah menunjukan bahwa kunci rezeki dari langit dan bumi hanyalah iman dan takwa....“

Tafsir Syed Qutb dalam membincangkan ayat ini menambah bahawa „“berkah itu kadang kadang sesuatu yang sedikit tetapi memberikan manfaat yang banyak diiringi dengan kebaikan, keamanan, kerelaan dan kelapangan hati“.

Dari ayat ini juga, sebagai manusia kita memang patut berbincang dan membuat andaian seperti minyak akan habis di Malaysia, tetapi sebagai orang beriman kita tidak sepatutnya terlalu bimbang. Tetapi kalau keimanan itu hanya dalam ruang diri dan keluarga kita, dan kita tidak cuba meluaskan ruang itu supaya negara kita beriman, maka memang patut untuk kita bimbang tidak tentu arah.

Bila kita tidak meluaskan keimanan tersebut keperingkat negara, maka ada kemungkinan Allah tidak mahu menunaikan janji seperti ayat 96 itu. Oleh itu jangan ambik ringan bab meningkatkan keislaman diri dan keluarga, meningkatkan keislaman masyarakat dan negara, juga menjadi pemerhati dan penyumbang kepada perjuangan menegakkan keadilan di negara kita ini dan alam sejagat ini. Amat bahaya jika hidup kita hanya berlandaskan mencari makan untuk diri dan keluarga sahaja.

Pembaca sekelian, dengan ini bukankah tanggungjawab kita untuk mewujudkan sebuah negeri yang barakah supaya Allah menurunkan dan membuka pintu rezeki dari langit dan bumi. Sesungguhnya mewujudkan negara barakah itu adalah tanggungjawab kita semua.

Dan sesungguhnya dalam kita merancang wang, rupa rupanya kita bukan saja perlu melihat diri dan keluarga kita, tetapi juga melihat masyarakat dan negara sekali. Oleh itu janganlah duduk dibawah tempurung kelapa sahaja.

Rupanya dalam rancang wang, kita bukan sahaja mengurus dan merancang wang yang kita dapat, tetapi kita juga perlu meluaskan dan membuka arah masuk rezeki tersebut. Menjadikan negara beriman adalah satu dari sumber penting dalam kita merancang wang kita sendiri.

Persoalannya bagaimana menjadikan sebuah negara itu barakah? Saya tinggalkan persoalan itu disini. Yang penting anda dapat menerima bahawa amat penting untuk mewujudkan sebuah negara yang barakah supaya rezeki untuk negeri dan penduduknya melimpah ruah.

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa.
Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

salam sejahtera, sudi sudikan memberi komen dan mempromosi ilmu dalam blog ini. T.kasih.