Thursday, October 23, 2008

Kewajiban terhadap harta bukan sekadar berzakat

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Oct 23, 08 | 5:01:00 pm MYT

Apakah hikmat Allah SWT jadikan zakat sebagai satu daripada Rukun Islam di samping rukun yang lain. Satu daripada sebabnya menggesa manusia supaya faham, jika manusia menyayangi Allah SWT mereka mesti rela hati mengeluarkan sebahagian hartanya sebagai zakat.



Dengan meletakan hanya Allah yang Esa dalam hati, jadi tanda rasa kasih sayangnya yang mendalam. Kebetulan perkara yang disayangi manusia itu banyak, selain menyayangi Tuhan juga menyayangi keluarga dan harta kekayaan.


Oleh kerana Tuhan tahu manusia juga menyayangi harta, justeru manusia diuji dengan perintah mengeluarkan zakat.

Sekiranya manusia melaksanakan suruhan berzakat, bagi menguji kesayangan terhadap harta tidak mengatasi sayangnya kepada Allah SWT. Pada hal Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..." (Surah At-Taubah sebahagian ayat 111)


Dengan ayat itu Allah SWT pujuk manusia atas nama jual beli. Untuk beritahu bahawa harta yang dikeluarkan atas nama zakat, atau untuk pengorbanan agama-Nya tidak sia-sia. Hakikatnya ia akan digantikan dengan syurga lebih bernilai dan kekal.


Apabila diteliti, manusia yang faham terbahagi kepada tiga golongan. Sebahagian mereka yang setia dengan tauhid, bukan saja mengucap dua kalimah syahadah, bahkan memahami maksudnya, serta melaksanakan tuntutannya dari segi diri dan hartanya.


Orang yang setia itu sanggup berhabisan hartanya untuk Allah SWT, hingga tidak disedari hartanya yang dikeluarkan sama ada dinar (wang emas) atau dirham (wang perak). Sebagaimana dilakukan oleh Abu Bakar As-Shiddik, menyerahkan seluruh hartanya kepada Rasulullah s.a.w. untuk tujuan jihad menegak dan pertahankan agama Allah SWT.


Kisah masyhur ini terjadi apabila Nabi s.a.w. memberitahu para sahabat tentang jihad melawan musuh Islam, dari angkatan tentera Rom yang sedang berhimpun di Tabuk, suatu medan di pesisir pantai Teluk 'Aqobah.

Musuh siap sedia hendak menyerang Madinah dengan tujuan menghapuskan kerajaan Islam pimpinan Rasulullah s.a.w.


Nabi s.a.w. kerahkan seluruh para sahabat agar bertindak mendahului ketibaan tentera musuh. Ketika itu khazanah negara hanya terdapat pada saku jubah para sahabat yang dermawan.


Antara dermawan terbilang adalah Abu Bakar r.a., yang menyahut seruan jihad dengan menyerahkan seluruh harta miliknya kepada Rasulullah s.a.w.

Para dermawan lain yang kurang sedikit daripada kesetiaan tauhid yang dimiliki Abu Bakar, ialah golongan yang mendermakan sebahagian daripada harta miliknya dan menyimpan sebahagiannya.


Mereka menyimpan sebahagian harta untuk persediaan ketika diperlukan, sama ada untuk keluarga atau peluang berkhairat yang lain, iaitu untuk melakukan kebajikan apabila timbul masalah, seperti membantu pihak perlukan pertolongan secara spontan.


Golongan alim ulama peringkat tabi'ein seperti An-Nakha'ei, Asy-Sya'bi, 'Ato dan Mujahid berpendapat bahawa kewajiban terhadap harta tidak memadai sekadar mengeluarkan zakat.


Bahkan ada kewajiban yang lain seperti menderma dan memberi bantuan jiran dan orang yang memerlukan.


Asy-Sya'bi mengukuhkan hujah dalil bahawa kewajiban terhadap harta melebihi sekadar zakat, ialah dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "...Dan memberikan yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) , dan orang yang meminta-minta; dan merdekakakan hamba sahaya ..." (Surah Al-Baqarah sebahagian ayat 177)


Separuh daripada sifat orang beriman yang baik ialah selain dari mengeluarkan zakat, dia juga mengorbankan harta yang disayangi kepada golongan yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 177 tersebut.


Agama ajar cara kehidupan Islam ialah; setiap orang bertanggungjawab ke atas diri dan keluarga juga untuk perhati jiran sekeliling.


Bantuan wajib diberi jika ada jiran yang memerlukan keperluan harian. Jiran juga mempunyai kewajiban sebaliknya.


Tidak pelik dalam masyarakat Islam jika seseorang mengadu kepada jirannya, tentang kekurangan sesuatu pada diri yang memerlukan bantuan.

Jangan tidak ambil peduli apabila mendengar tentang kesusahan orang. Elakkan sifat meminta sebagai peminta sedekah, perbuatan itu mengaibkan diri dan masyarakat. Sekadar menyatakn kekurangan sesuatu keperluan itu tidak mengapa meskipun tidak digalakkan.


Kewajiban jiran ialah tingkatkan rasa kepedulian untuk hulurkan pertolongan.

Berdasarkan beberapa ayat yang dinyatakan itu boleh diambil hukum iaitu; kewajiban ke atas golongan berada terhadap yang tidak berada menunaikan hajatnya selain daripada memberi zakat.


Menderma dan membantu pihak yang memerlukan tanda keunggulan budi serta kemanusiaan yang luhur.


Golongan yang ketiga ialah mereka yang hanya mengeluarkan zakat wajib saja, sejak permulaan hingga akhir tahun. Hanya zakat itulah agenda hartanya.


Tanpa memberi bantuan kepada jiran atau yang memerlukan, golongan ini adalah puak yang rendah sekali budinya dalam masyarakat Islam. - lanh _ harakah

No comments:

Post a Comment

salam sejahtera, sudi sudikan memberi komen dan mempromosi ilmu dalam blog ini. T.kasih.