Thursday, June 05, 2008

MghadapiMinyakNaik3: Banyakkan Bersedekah.

MghadapiMinyakNaik3: Banyakkan Bersedekah.

Bukankah pelik, dalam keadaan kita merasa kecewa dengan kenaikan harga minyak ini, saya mencadangkan agar kita banyak bersedekah. Banyak kali bersedekah bukan bermakna setiap kali bersedekah kita membuatnya dengan banyak. Yang saya maksudkan, bila ada peluang untuk bersedekah, keluarkanlah duit anda walau sedikit mana untuk bersedekah. Selepas itu berdoalah agar Allah menerima sedekah kita dan memberi kita rezeki dengan secukupnya.

Salah satu cara untuk merasakan kehebatan Allah ialah dengan kita memerhatikan apa yang berlaku disekeliling kita. Dalam perkara sedekah ini, mungkin kita ingin imbas kembali, bagaimana ada kalanya rezeki rezeki yang datang kepada kita selepas kita bersedekah. Ini tidak mestinya berlaku serta merta, tetapi ianya tetap berlaku. Kalau berlaku serta merta, maka semua orang akan bersedekah. Kita tahu ramai yang begitu lokek dan kedekut untuk bersedekah. Cuba imbas imbas kembali bahawa ada kalanya kita mendapat kebaikan dari sedekah kita. Kebaikan itu datang secara langsung atau tidak langsung kepada kita.


Untuk kita yang beriman kepada Allah, kita tidak patut untuk takut bersedekah walaupun dalam keadaan harga minyak naik ini. Allah telah berjanji, orang bersedekah itu tidak akan miskin. Janji Allah adalah benar dan sentiasa benar. Percayalah.

Apabila Allah berjanji kita tidak akan miskin dengan bersedekah, bermakna Allah berjanji bahawa rezeki kita akan cukup. Mungkin kita tidak akan kaya, tetapi percayalah, rezeki kita akan dicukupkan Allah. Segala keperluan asas kita akan cukup untuk kita. Insyallah Allah akan datangkan dengan cara langsung atau tidak langsung. Perhatikanlah.

Maka teruskanlah bersedekah. Buatlah selalu walau sedikit. Bila ada peluang untuk bersedekah, buatlah. Buatlah banyak lagi kebaikan diatas mukabumi ini. Bukankah hadis mengatakan ’jika kita membuang duri dari atas jalan, itu juga satu sedekah’. Oleh itu jangan tunggu lagi, bersedekahlah.

No comments:

Post a Comment

salam sejahtera, sudi sudikan memberi komen dan mempromosi ilmu dalam blog ini. T.kasih.